Monday, 30 April 2012

Dari Hujung Kembali Ke Asal

   Daripada manakah asalnya kita? Soalan ini mungkin pernah sekurang-kurangnya sekali terlintas di fikiran. Mungkin ada yang dengan berseloroh menjawab daripada keturunan nabi. Ini memang benar seratus-peratus. Sesiapa daripada umat Islam yang tidak percaya perlu menilai semula keimanannya. Sesungguhnya umat manusia ini berasal daripada keluarga nabi dan khalifah pertama di muka bumi ini iaitu Adam alaihissalam. Persoalan seterusnya ialah apa pula ceritanya selepas itu.
   Sebagai manusia yang terhad daya inteleknya dan terbatas pula jangka umurnya, adalah mustahil untuk kita mengorek khazanah sejarah sepenuhnya secara individu. Oleh itu patutlah sekiranya kita memulakan dengan yang dekat dengan kita iaitu keluarga sendiri. Keluarga di sebelah bapa memang diketahui berasal dari Patani yang berhijrah ke Sungai Kob. Mereka adalah antara yang bertanggungjawab membuka tanah di perkampungan ini bersama-sama masyarakat Patani lain dan juga Acheh. Namun memandangkan bapa daripada rakyat biasa, susah untuk merunut salasilah keluarganya untuk melangkau melepasi moyangnya kerana tidak memiliki rekod bertulis. Oleh itu yang tinggal hanyalah nasab sebelah ibu.
   Sebagai seorang murid di sekolah rendah pernah guru bertanya berkenaan nama saya, "Kenapa ada Megat?" sedangkan bapa tidak pula memiliki gelaran itu. Waktu itu yang mampu dijawab hanyalah dengan memberitahu ia disebabkan datuk sebelah emak bergelar Tengku. Hanya itu sahaja pengetahuan tentang keluarga sendiri yang dimiliki ketika itu. Namun lama kemudian timbul keinginan untuk mengetahui lebih lanjut dan timbullah pula nama moyang, Tengku Abdullah Lebar. Keadaan kekal sebegitu dengan hanya mengenali atau sekadar mendengar nama individu daripada lingkungan keluarga ini.
   Menjelang bulan Jun 2005 saya dikejutkan oleh satu berita di akhbar Harian Metro bertajuk "Kubur dipercayai kerabat diraja" yang melaporkan ia milik seorang bergelar "Tengku Abdullah Lebar" maka tidak syak lagi ia milik moyang lebih-lebih lagi keluarga di sini memang sedia maklum yang datuk sebelah ibu berasal dari Bakau Tua.
   Kami sekeluarga kemudiannya ada menziarahi makam tersebut dan benar sekali nama yang tertulis di nesan milik moyang. Seterusnya saya cuba juga mencari di internet dengan harapan dapat berjumpa maklumat yang lebih lanjut. Hasilnya kosong, tiada apa-apa. Cuba pula mengorek cerita daripada ahli keluarga sendiri, malangnya tidak banyak yang di ketahui. Jawapan yang diterima hanyalah tidak tahu dan tidak pernah bertanya.
   Perkara menjadi lebih buntu kerana datuk telahpun pulang ke Rahmatullah pada 1990 tanpa sempat untuk diri ini bertanya perihal keluarga ini kepadanya. Yang anehnya kenapa tidak beliau bercerita kepada semua anak-cucunya tentang asal-usul keluarga ini. Di kalangan anak-anaknya  kenapa pula tidak mahu bertanya. Adakah terdapat banyak rahsia yang perlu disimpul kemas dan dijauhkan daripada pengetahuan generasi kami?
  Simpulan itu kebelakangan ini bagaimanapun mula terungkai apabila terdapatnya gelombang pencarian salasilah di internet. Melalui laman blog Nik Ya Omar akhirnya tercantum juga salasilah keluarga ini yang sekian lama terputus. Alhamdulillah dipanjatkan sekiranya pertalian salasilah itu benar-benar sahih. Semoga semua keturunan yang terbit daripada keluarga besar ini akan kenal jati diri masing-masing. Amin.

2 comments:

  1. Alhamdulillah..

    Dalam setiap keluarga ada yang diberi ilham oleh Allah untuk mencari diri..

    ReplyDelete