Kesultanan Kedah merupakan kesultanan yang tertua dia Asia Tenggara. Bagi sesiapa yang cuba menyusuri sejarah Kesultanan Kedah pastinya akan berdepan dengan dilema. Ini berlaku kerana terdapatnya dua premis tentang asal-usulnya kesultanan ini. Pertama, kesultanan ini merupakan lanjutan daripada kerajaan Hindu-Buddha Merong Mahawangsa sejak dari kurun sebelum Masihi, dan kedua, kesultanan ini telah sedia Islam semenjak Merong Mahawangsa yang mengasaskan Empayar Islam Benua Siam Kedah Pasai Ma. Namun terdapat satu nama yang berkait dengan kedua-dua premis tersebut, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II, sesetengahnya menyebut Nai Nal Adilin II.
Sultan ini mengikut satu sumber adalah keturunan Sultan Mudzaffar Shah, Sultan Kedah pertama yang memeluk Islam. Manakala berdasarkan sumber yang lain baginda hanyalah Perdana Menteri Benua Siam Kedah Pasai Ma dan perkaitan baginda dengan Merong Mahawangsa hanyalah melalui perkahwinan dengan Nang Che Puan Phumintharaja, adinda bongsu Maharaja Benua Siam Islam Kedah Pasai Ma. Apapun bukanlah niat saya untuk memperincikan sejarah ini di sini kerana saya bukanlah ahli, lagipun terdapat blog-blog dan laman web lain yang membincangkannya dengan panjang lebar. Perkara yang menjadi kejanggalan dan meralatkan saya ialah terdapatnya suara-suara di internet yang cuba menanamkan kefahaman yang orang Melayu ini juga golongan pendatang.
Jika dilihat pada kerajaan-kerajaan tua di sekitar nusantara memang ada yang menyatakan raja yang mengasaskan kerajaan-kerajaan tersebut berasal dari luar nusantara antaranya dari India dan China. Setelah berkurun-kurun melalui perkahwinan dengan penduduk asal, keturunannya terus menjadi pemerintah di kerajaan-kerajaan tersebut. Namun yang menjadi persoalannya ialah sebagai raja yang silih-berganti, siapakah rakyat yang dinaungi dan dipayunginya? Bukankah rakyat ini penduduk asal nusantara ini yang datang dalam bentuk gelombang-gelombang penghijrahan berlanjutan sejak dari zaman prasejarah lagi. Manakala gelombang zaman modennya pula dikelolakan oleh penjajah British ke atas Malaya dan Belanda ke atas Indonesia.
Penduduk asal inilah yang kemudiannya digelarkan sebagai rumpun Melayu. Rumpun ini pula merangkumi pelbagai suku, Acheh, Bugis, Champa, Jawa, Patani, Siam, dan pelbagai lagi yang dikelaskan sebagai bumiputera semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mereka inilah pula yang menjadi nadi kepada kemajuan kerajaan-kerajaan tua ini. Tidak dinafikan juga antaranya menjadi punca keruntuhannya. Jadi jelaslah yang penduduk asal ini bukannya pendatang. Mungkin ya pada suatu ketika dahulu (dibaca beribu tahun lalu) tetapi setelah berasimilasi sesama mereka menjadikan mereka layak dikenali sebagai penduduk asal.
Melalui kefahaman yang mengatakan Melayu ini pendatang juga, suara individu-individu daripada gelombang penghijrahan moden seolah-olah meminta supaya mereka juga diiktiraf sebagai penduduk asal di Malaysia ini dan layak menerima hak-hak istimewa sebagai penduduk asal. Pendapat saya mereka ini seribu tahun terlalu awal untuk diiktiraf sebagai penduduk asal. Malah ada segelintir golongan ini yang biarpun sudah setengah abad mendiami bumi Malaysia masih gagal berbahasa Melayu sedangkan pendatang asing yang baharu sebulan dua bekerja di Malaysia sudah mahir berbahasa Melayu. Bukankah Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia?
Perlu ditegaskan di sini yang bukanlah niat saya memusuhi masyarakat daripada gelombang penghijrahan moden ini malah saya boleh untuk berkawan dan hidup bersama-sama mereka di tanahair ini. Tidak dinafikan juga yang mereka adalah antara yang bertanggungjawab memajukan ekonomi Malaysia. Bagaimanapun apabila mereka cuba untuk mengganggu-gugat hak-hak kita bukankah menjadi kewajipan kita pula untuk bersuara.
Sebagai rakyat di negara ini adalah perlu untuk kita mempertahankan institusi istana yang menjadi bukti hegemoni bangsa Melayu nusantara sejak berzaman dan institusi yang memayungi seluruh rakyat Malaysia. Jangan pula kerana perebutan kuasa ada yang sanggup memusnahkannya. Sesungguhnya sebagai bangsa berdaulat, bangsa Melayu bukanlah pendatang. Janganlah diulangi kesilapan silam sehingga ada anak-cucu bangsa Melayu ini yang akan menjadi pelarian dan bertebaran pula ke serata pelosok dunia tanpa negara.